Pages

Thursday, December 29, 2011

Ke Arah Konsortium Cerdik Catur 2015

Pejam celik, lagi beberapa hari akan masuk tahun baru 2012. Dikenangkan semula aktiviti catur yang melibatkan Cerdik Catur Enterprise pada tahun 2011, boleh dikatakan mencapai sasaran pihak kami iaitu berjaya menggerakkan aktiviti catur kepada 3 saluran fasanya iaitu 1. Anjuran kejohanan catur 2. Bengkel/Seminar Catur dan 3. Jualan/sewaan peralatan catur.

Pada tahun ini juga, pihak kami berjaya mewujudkan kerjasama baru dengan beberapa organisasi baru iaitu seperti Klang Parade, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, Kompleks 3 C, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan beberapa organisasi lagi. Persefahaman dan sokongan baru dengan beberapa IPT seperti UiTM Segamat, Uitm Melaka, UKM , UPSI, UTEM, MMU dan beberapa pihak IPT tahun depan dari segi penyertaan peserta dan kerjasama anjuran aktiviti catur akan membawa ke arah pembangunan sukan catur dengan lebih cepat dan akhirnya dijangka akan membawa penyatuan komuniti catur yang lebar besar lagi di Malaysia.

Pada tahun 2011, penyertaan melebihi 100 peserta bagi kejohanan Catur anjuran Cerdik Catur Enterprise iaitu seperti Cabaran Cerdik Catur, Cerdik Catur SEMI PRO, Kejohanan Catur Amatur dan juga penyertaan melebihi 100 peserta bagi aktiviti catur anjuran bersama dengan Klang Parade, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya dan Kompleks 3C, MPSJ dan beberapa organisasi lain seperti kejohanan catur Ole-Ole di Shah Alam yang memerlukan bantuan pihak kami dari segi teknikal dan pemasaran/publisiti telah berjaya membantu mencapai sasaran penyertaan melebihi 100 peserta. Ini telah membuktikan sokongan daripada pelbagai pihak dalam membantu menjayakan aktiviti catur. Penganjuran kejohanan terakhir kami pada tahun ini iaitu Kompleks 3C Amateur Chess Championship dengan penyertaan seramai 150 peserta (rekod jumlah peserta paling ramai bagi 1 kategori acara terbuka di Selangor/KL dan mungkin di Malaysia) telah juga berjaya membawa beberapa pihak baru ke arah ingin melibatkan dalam memajukan aktiviti catur mulai tahun depan.

Peranan dan cara kami menjalankan pengurusan Cerdik Catur Enterprise mengikut konsep garis panduan seperti pentadbiran berlandaskan piawaian ISO banyak membantu pihak kami menjalankan aktiviti catur dengan jayanya. Bermula dengan penyiapan ‘Procedure Manual’ Cerdik Catur Enterprise dan perlaksanaannya dan kemudian daripada berpuluh-puluh NCR (Non-Conformance Report) yang kami berjaya nampak dan terpaksa keluarkan pada tahun 2010 kepada 3 fasa saluran pentadbiran kami, berjaya juga kami kurangkan kepada tidak sampai 10 sahaja NCR (Non-Conformance Report) pada tahun ini. Ini secara langsung berjaya memantapkan kesemua saluran fasa pengurusan kami ke tahap dan sasaran yang kami dikehendaki. Action Plan yang sentiasa kami perbaharui dan laksanakan, telah banyak membantu ke arah itu.

Pada tahun 2012 pula, beberapa organisasi baru daripada badan kerajaan dan swasta, beberapa sekolah rendah dan menengah dan juga beberapa lagi Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) telah secara lisannya bersetuju menjalankan aktiviti catur dengan kerjasama Cerdik Catur Enterprise. Dijangka juga mulai tahun depan, beberapa persatuan catur negeri akan menjalankan aktiviti caturnya dengan kerjasama Cerdik Catur Enterprise. Terdapat juga beberapa individu ahli perniagaan korporat juga yang secara lisan telah menghubungi pihak kami untuk menaja beberapa kejohanan catur tahun depan melalui Cerdik Catur Enterprise.

Penyatuan, gabungan dan kerjasama oleh semua pihak yang disebut di atas dijangka akan mewujudkan dana minimum RM30 ribu pada tahun depan dalam menjalankan aktiviti catur. Ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu kejutan dan perubahan besar di dalam konsep kewujudan dana catur melalui gabungan tersebut.
Dengan aktiviti catur yang dijangka akan lebih bertambah banyak bukan sahaja anjuran Cerdik Catur dan banyak pihak lain, akan juga merumitkan untuk mendapatkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan aktiviti catur seluruh Malaysia. Walaubagaimanapun, pihak kami rasa tidak akan mendatangkan apa-apa masalah bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan kerana kebanyakan aktiviti catur di kedua negeri ini dijalankan oleh Cerdik Catur Enterprise.

Dengan adanya kerjasama dengan dua pusat aktiviti catur mulai tahun depan iaitu di DATCC, Wilayah Kompleks, KL dan juga Kompleks 3C, MPSJ di Subang, tempat menjalankan aktiviti catur dijangka tidak akan menghadapi apa-apa masalah bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan negeri Selangor.
Matlamat pihak kami mulai tahun 2013 ialah dengan sasaran menyatukan lebih 30 organisasi yang ingin terlibat sama dalam menjayakan aktiviti catur dan akhirnya akan menwujudkan Konsortium Cerdik Catur yang berkemampuan menganjurkan aktiviti catur dengan jayanya.

Dengan pentadbiran yang mantap yang sedang Cerdik Catur Enterprise usahakan setahun demi setahun sehinggalah pada tahun 2015, konsortium ini dijangka bakal memainkan peranan besar sebagai ‘payung’ dan paling berpengaruh dan paling hebat di dalam menjayakan sebarang aktiviti catur di Malaysia.

Sekian, terima kasih.
Cerdik Catur Enterprise

Post a Comment
Related Posts with Thumbnails